Kepuasan Dan Kegembiraan Diraih Dalam Pemindahan Ilmu UCTC UPM Demi Kemajuan Komuniti | FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
» ARTIKEL » Kepuasan dan kegembiraan diraih dalam pemindahan ilmu UCTC UPM demi kemajuan komuniti

Kepuasan dan kegembiraan diraih dalam pemindahan ilmu UCTC UPM demi kemajuan komuniti

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 13 Februari – “Rasa sangat gembira dan tidak dapat digambarkan perasaan seronok itu,”.

Begitulah luahan Timbalan Pengarah (Pembangunan Komuniti) Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Osman bersama pasukannya setiap kali selesai melaksanakan projek bersama komuniti.

Melaksanakan pengembangan dan pemindahan ilmu kepada komuniti di kawasan pedalaman khasnya Sabah dan Sarawak bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan komitmen tenaga, masa serta peralatan yang mencukupi.

Prof. Madya Dr. Mohd Nizam berkata apabila melakukan projek pertanian secara hidroponik sememangnya kelengkapan peralatan akan diterbangkan bersama ke Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, cabaran ini bertukar menjadi sesuatu yang bernilai tinggi apabila melihat hasil pengembangan ilmu memberi kebaikan pada masyarakat setempat.

“Sebagai contoh, tahun lalu UCTC UPM membantu komuniti Bajau Laut, Pulau Omadal di Semporna, Sabah aktiviti bercucuk tanam walaupun kehidupan mereka ini di atas air sepenuhnya.

“Komuniti Bajau Laut ini sangat teruja dan tidak lekang mengucapkan terima kasih kerana hasil pemindahan ilmu penanaman sayuran secara hidroponik secara tidak langsung membantu mereka mendapatkan sumber sayuran segar,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM berkata sebelum ini masyarakat Bajau Laut perlu menaiki Bot untuk ke Semporna bagi mendapatkan bekalan makanan khususnya sayuran.

“Menerusi khidmat UCTC UPM ini mereka sangat bersyukur kerana separuh hasil tanaman boleh dimakan dan separuh lagi mereka akan jual menjana pendapatan.

“Mereka tidak perlu lagi memikirkan kos bot, minyak bot, tempoh masa, dan kos untuk membeli sayur-sayuran kerana tinggal petik di tepi rumah sahaja,” ujarnya lagi.

Amnya, UCTC UPM merupakan sebuah entiti yang memberikan khidmat kepakaran UPM dalam pelbagai bidang seperti pembangunan komuniti, pengembangan pertanian, pembangunan keusahawanan serta pemajuan profesional dalam memenuhi keperluan modal insan negara.

Dalam pada itu, melalui UCTC UPM juga dapat merapatkan jurang dan sempadan antara UPM dan komuniti setempat dalam usaha mendekatkan warga kampus bersama komuniti.

Bermula tahun 1974 dengan jenama Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL) telah memulakan langkahnya membantu masyarakat tanpa mengira status dalam aktiviti pemindahan ilmu dan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat termasuklah latihan atau kursus selain bidang pertanian.

Misalnya, UCTC UPM juga melaksanakan perkongsian ilmu bersama banduan di penjara Malaysia sebagai panduan dan kemahiran yang boleh dilakukan oleh banduan ini apabila mereka dibebaskan kelak.

“Selain modul pertanian, kami juga memberikan pendidikan keusahawanan kepada banduan dan untuk projek yang akan datang di penjara Sungai Udang Melaka pihak kami akan melakukan aktiviti penghasilan rempeyek pula.

“Setiap projek yang kami lakukan hasil permohonan daripada komuniti luar ini kami akan melibatkan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang lain berdasarkan kepakaran masing-masing. Contohnya di penjara Melaka ini kita gabungkan dengan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan melihat kepada kepakaran memastikan makanan tahan lama, cara pembungkusan dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap projek yang dilaksanakan oleh UCTC UPM bukan hanya sekali pergi dan tamat begitu sahaja, namun mereka bertanggungjawab membuat pemantauan bermula awal projek sehingga penuaian hasil dan pemasaran. -UPM

Tarikh Input: 20/02/2023 | Kemaskini: 20/02/2023 | mohdsyafiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698210
-
SXERAAq~